RUU Anti Lompat Parti: Mesyuarat khas Dewan Negara esok dibatalkan

Dewan Negara - Foto Bernama
Dewan Negara - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas Dewan Negara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti digubal yang dijadualkan esok (12 April), dibatalkan.

Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, ia berikutan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No.3) 2022 diputuskan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin untuk dikaji dan diteliti semula melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.

"Dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara telah menerima pemakluman daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis bahawa Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadualkan pada 12 April 2022 dibatalkan," menurut kenyataan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mempersetujui tiga perkara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuk memperhalusi berkaitan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat yang dipengerusikan Ismail Sabri pagi Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: