Serbu kondominium, polis berkas tokan dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai tokan dadah diberkas dalam serbuan polis ke atas sebuah kondominium di kawasan Kepong, pada Sabtu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintenden Mohd Shokri Abdullah berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) kira-kira jam 3.15 petang.

"Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun diberkas di kawasan lobi kondominium tersebut.

"Pemeriksaan dijalankan ke atas suspek menemukan dua botol cecair MDMA bernilai RM450 dan serbuk MDMA bernilai RM 11,040," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Shokri, hasil serbuan turut menemui sejumlah lagi dadah di dalam unit kondominium yang didiami suspek.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah unit kondominium menemukan 10 botol cecair MDMA bernilai RM2,000; serbuk MDMA bernilai RM128,400; ketamin bernilai RM13,500, serta pil ekstasi bernilai RM3,000.

"Siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja telah berkeluarga dan mempunyai seorang anak berumur lima tahun. Semakan juga mendapati suspek pernah ditahan sebelum ini melibatkan kes dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau serta hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methaphatamine," katanya.

Tambah Mohd Shokri, suspek direman lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: