Doktor kena tipu hampir RM200,000

Aibee
Aibee
A
A
A

SEREMBAN - Seorang doktor kerugian hampir RM200,000 selepas tertipu dengan tawaran kerja sambilan yang diiklankan di Facebook pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 29 tahun itu berkenalan dengan seorang individu yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram.

"Individu terbabit menawarkan satu pekerjaan sambilan secara digital marketing.

"Mangsa yang berminat dengan pekerjaan itu telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang diuruskan oleh seorang lelaki," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurut Aibee, mangsa diberi satu tugasan untuk membuat pembelian barangan di laman web berkenaan serta dijanjikan komisen.

Katanya, tugasan pertama mangsa berjumlah RM99 telah dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus daripada modal yang dibuat.

"Selepas itu mangsa diminta membuat tugasan pembelian tujuh barangan lain yang melibatkan pindahan wang ke dalam akaun individu berbeza sebanyak RM173,888.74.

"Mangsa dijanjikan menerima komisen ke atas pembelian barangan tersebut pada Ahad, namun rasa ditipu setelah diminta membuat pembayaran untuk perlindungan diri sebanyak RM74,872.41 bagi menebus modal dan komisen dijanjikan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Aibee berkata, sebanyak 80 kertas siasatan berkaitan tawaran kerja sambilan tidak wujud dibuka dari Januari hingga Ahad yang melibatkan kerugian RM1,103,195.46.