Ketengah bantu 5,500 pelajar melalui Program Kembali ke Sekolah

Para penerima bergambar kenangan bersama Razali dan pihak pengurusan Ketengah sempena Majlis Perasmian Program Kembali ke Sekolah dan penyampaian sumbangan kepada pelajar B40 daerah Dungun, pada Isnin.
Para penerima bergambar kenangan bersama Razali dan pihak pengurusan Ketengah sempena Majlis Perasmian Program Kembali ke Sekolah dan penyampaian sumbangan kepada pelajar B40 daerah Dungun, pada Isnin.
A
A
A

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan sebanyak RM825,000 untuk diagihkan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah terpilih di Terengganu melalui Program Kembali ke Sekolah pada tahun ini.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan pada setiap tahun menerusi Ketengah Holding Sdn Bhd itu memberi manfaat kepada lebih 5,500 pelajar dari B40.

Menurutnya, Ketengah sedar ada sebilangan masyarakat yang kurang berkemampuan sedang bergelut untuk menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah ekoran peningkatan kos sara hidup dan kesan Covid-19.

“Namun, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran anak-anak kerana pendidikan merupakan tiket penting dalam mengubah dan menjamin kehidupan lebih baik,” katanya sempena Majlis Perasmian Program Kembali ke Sekolah dan penyampaian sumbangan kepada pelajar B40 daerah Dungun yang turut dihadiri Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa di Balai Orang Ramai (Balora), Bandar Al Muktafi Billah Shah, pada Isnin.

Selepas Dungun, Program Kembali ke Sekolah Ketengah akan menjelajah ke tujuh daerah lain bagi memastikan sumbangan tunai sebanyak RM150 seorang diagihkan kepada semua pelajar yang terpilih bagi menghadapi sesi persekolahan baharu.

Razali berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah, anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal dengan menyalurkan pelbagai bantuan.

“Semoga bantuan ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah menyediakan keperluan persekolahan sekali gus membantu pelajar belajar dengan lebih selesa,” katanya.

Pada tahun lalu, Ketengah mengagihkan 900 peranti kepada murid-murid terpilih di Terengganu supaya mereka dapat mengikuti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Artikel Berkaitan:

Agihan peranti melibatkan peruntukan sebanyak RM351,000 itu sebagai CSR Ketengah dalam usaha memastikan pelajar di Terengganu dapat belajar dengan lebih selesa dalam tempoh pandemik Covid-19.