Lebih 1,200 mayat ditemui di wilayah Kiev

Mayat akibat perang Ukraine ditemui di pinggir Buzova, timur Kiev pada Ahad. - Foto AFP
Mayat akibat perang Ukraine ditemui di pinggir Buzova, timur Kiev pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

KRAMATORSK - Ukraine pada Ahad mendedahkan ia menemui lebih 1,200 mayat di wilayah Kiev iaitu tempat kejadian serangan yang didakwa dilakukan oleh tentera Rusia.

Pengeboman hebat yang berlaku di Ukraine baru-baru ini telah meningkatkan lagi jumlah korban selepas tentera Rusia menceroboh negara itu pada 24 Februari lalu.

Serangan meragut dua nyawa di timur laut Kharkiv pada pagi Ahad, menurut Gabenor Kharkiv, Oleg Synegubov sehari selepas 10 orang awam maut dalam pengeboman di tenggara bandar itu.

"Tentera Rusia terus melancarkan perang terhadap orang awam," kata Synegubov menerusi aplikasi Telegram seperti dilaporkan AFP.

Di Dnipro iaitu sebuah bandar perindustrian yang mempunyai kira-kira sejuta penduduk, serangan peluru-peluru berpandu Rusia hampir memusnahkan lapangan terbang tempatan menyebabkan sejumlah orang dikhuatiri terkorban, kata pihak berkuasa tempatan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sekali lagi mengutuk serangan terhadap orang awam dan selepas bercakap dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz menyatakan mereka bersetuju bahawa semua pelaku jenayah perang mesti dikenal pasti dan dihukum. - Agensi

Artikel Berkaitan: