122 pengunjung pusat hiburan dikompaun langgar SOP

Sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di sini pada Sabtu.
Sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 122 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa peralihan ke endemik pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berusia 19 hingga 58 tahun itu dikompaun atas kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa berada di dalam premis tersebut.

"Pengurus premis itu juga turut dikompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan gagal mengawal pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam serbuan berasingan, Noor Dellhan memaklumkan dua individu yang didapati positif dadah telah ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan.

"Kita telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 21 pengunjung pusat hiburan berusia 20 tahun hingga 49 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing itu, dua individu didapati positif dadah jenis amphetamine dan direman sehari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan kompaun sebanyak RM1,000 turut dikeluarkan kepada pengurus premis itu.

"Tindakan kompaun tersebut dilakukan mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) (fasa peralihan ke endemik) 2022," katanya.

Artikel Berkaitan: