Adik Nik Intan Nabila dianugerah Adiwira

Mohd Razali (tiga, kiri) mendukung Nik Khairi Aswa selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Nik Intan Nabila.
Mohd Razali (tiga, kiri) mendukung Nik Khairi Aswa selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Nik Intan Nabila.
A
A
A

KUANTAN - Keberanian dan kematangan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang pantas menyelamatkan adiknya berusia lapan bulan dalam kebakaran Khamis lalu, mendapat perhatian Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Pegawai PPD, Mohd Razali Mustafar berkata, dalam keadaan panik, Nik Intan Nabila Nik Fauzi Izani mampu bertindak matang mendahulukan adiknya, melebihi keselamatan diri.

Menurutnya, keberanian beliau wajar dipuji dan dihargai agar menjadi pemangkin untuk beliau serta murid lain menerapkan nilai murni dalam kehidupan seharian.

"Alhamdulillah sempat bersama anak hebat ini. Baru Darjah Dua meredah asap dan api untuk selamatkan adiknya ketika rumahnya terbakar di Beserah.

"PPD dengan rasa bangganya menyampaikan setinggi tinggi penghargaan dan tahniah dengan menobatkan beliau sebagai Adiwira atas tindakan berani yang telah menyelamatkan bayi, iaitu adiknya dalam tragedi kebakaran. Sikap tanggungjawab dan penyayang beliau sangat dikagumi," katanya.

Dalam pertemuan PPD bersama keluarga Nik Intan Nabila di Balai Raya berdekatan Tabika Kemas Baru Hitam di sini, PPD menganugerahkan sijil penghargaan kepada murid SK Sungai Karang tersebut.

Keratan berita video Sinar Harian.
Keratan berita video Sinar Harian.

Beliau turut menyampaikan tunai RM500 sumbangan warga sekolah kepada kanak-kanak itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa usia muda tidak membatasi naluri Nik Intan Nabila untuk menyelamatkan adiknya berusia lapan bulan, dari menjadi mangsa kebakaran di Jalan Beserah di sini, pada Khamis.

Hari kejadian, Nik Intan Nabila tinggal bersama adik bongsunya, Nik Khairi Aswa, 8 bulan di rumah manakala bapa, Nik Fauzi Izani Rahlim, 37, dan ibu, Salimah Adam, 33, membawa adiknya, Nik Iman Hairil, lima tahun, ke tempat kerja.

Selain keluarga Nik Intan Nabila, sebuah lagi keluarga iaitu jirannya turut terlibat sama dalam kebakaran tersebut, namun ketika kejadian mereka tiada di rumah.