Marah pegawai polis, enggan serah MyKad

Polis menggempur dua pub di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Polis menggempur dua pub di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan biadab dua pengunjung pub di Jalan Dutamas di sini memarahi pegawai polis dan cuba melarikan diri ketika pemeriksaan pada Jumaat mengundang padah apabila mereka ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur kira-kira jam 11.50 malam itu mendapati premis terbabit tidak memiliki lesen.

Menurutnya, ketika pemeriksaan terhadap pengunjung pub terbabit, dua lelaki berusia 27 dan 35 tahun tidak mahu bekerjasama apabila enggan memberikan MyKad untuk proses dokumentasi.

"Dua lelaki ini juga bertindak memarahi pegawai operasi sebelum cuba melarikan diri namun tindakan mereka gagal dan berjaya ditahan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurut beliau, selain itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan iaitu pengurus premis berusia 35 tahun untuk siasatan lanjut.

Sementara itu katanya, D7 Kuala Lumpur turut menyerbu sebuah lagi pub tidak berlesen di Jalan Dutamas kira-kira jam 11.15 malam dan menahan lima individu termasuk empat pekerja asing berusia 23 hingga 40 tahun.

"Siasatan mendapati seorang lelaki tempatan ialah penjaga premis dan empat warga asing termasuk dua wanita merupakan pekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, polis telah merampas peralatan audio, resit perniagaan dan minuman keras pelbagai jenama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992, Akta Imigrsen 1959/63 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976," ujarnya.