Will Smith dilarang hadiri acara Oscar selama 10 tahun

Will Smith - Foto Reuters
Will Smith - Foto Reuters
A
A
A

LOS ANGELES - Pelakon terkenal Hollywood, Will Smith dilarang daripada menghadiri sebarang majlis anugerah Oscar selama 10 tahun akan datang, dua minggu selepas pelakon itu mengejutkan seluruh dunia dengan menampar pelawak Chris Rock di atas pentas.

Smith juga dilarang menghadiri sebarang acara lain yang dianjurkan oleh Akademi Seni dan Sains Filem sepanjang sedekad akan datang.

Anggota lembaga Akademi bagaimanapun tidak memutuskan untuk menarik balik anugerah pelakon terbaik yang dimenangi oleh Smith pada bulan lalu menerusi filem "King Richard," atau melarangnya daripada mendapat sebarang pencalonan atau kemenangan Oscar di masa hadapan.

Filem terbaharu Smith "Emancipation" mengisahkan seorang lelaki yang berjaya membebaskan diri daripada menjadi seorang hamba dijangka ditayangkan tahun ini.

"Ahli lembaga memutuskan selama tempoh 10 tahun dari 8 April 2022, Smith dilarang menghadiri sebarang acara atau program Akademi, secara bersemuka atau secara maya," kata Presiden Akademi, David Rubin dan Ketua Eksekutif (CEO) Dawn Hudson dalam satu kenyataan bersama.

Dalam satu kenyataan balas, Smith berkata beliau menerima dan menghormati keputusan yang dibuat pihak Akademi.

Larangan itu bermakna Smith tidak akan menyampaikan salah satu anugerah utama di majlis anugerah Oscar tahun depan - tradisi untuk pemenang pelakon terbaik.

Minggu lalu, Smith meletak jawatan daripada Akademi dan berkata sedia menerima sebarang hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini pelakon berkenaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan memohon maaf pada Rock, penerbit Oscar, calon anugerah serta penonton acara tersebut. - Agensi

Reaksi Chris Rock (kiri) selepas ditampar Will Smith. Foto: Agensi
Reaksi Chris Rock (kiri) selepas ditampar Will Smith. Foto: Agensi