Penyamun kedai serbaneka tumpas

Tiga lelaki disyaki terlibat kes samun sebuah kedai serbaneka di Taman Leng Seng, Cheras berjaya ditahan.
Tiga lelaki disyaki terlibat kes samun sebuah kedai serbaneka di Taman Leng Seng, Cheras berjaya ditahan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun yang berlaku dalam kawasan Cheras, Kajang dan Ampang dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bandar Permaisuri, Cheras di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kejadian samun sebuah kedai serbaneka yang melibatkan kerugian berjumlah RM149.90 di Taman Leng Seng, Cheras di sini, baru-baru ini.

"Bertindak atas maklumat, pada 7 April kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah membuat risikan dan tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan di sekitar kawasan perumahan Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

"Susulan dari tangkapan tersebut, pada jam lebih kurang 10.30 malam, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan dan merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 25 tahun mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Katanya, ketiga-tiga lelaki tempatan berkenaan direman enam hari bermula Jumaat hingga 13 April untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: