Inspektor polis minta rasuah dipenjara 10 hari, denda RM15,000

Seorang pegawai polis dijatuhkan hukuman penjara selama 10 hari dan denda RM15,000 kerana rasuah.
Seorang pegawai polis dijatuhkan hukuman penjara selama 10 hari dan denda RM15,000 kerana rasuah.
A
A
A

TAWAU - Seorang pegawai polis dijatuhkan hukuman penjara selama 10 hari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan meminta suapan daripada seorang individu, enam tahun lepas.

Tertuduh, Zakariah Kirinu, 40, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, kira-kira jam 3 petang 19 April 2016 di dalam sebuah kenderaan di hadapan Mahkamah Tawau, tertuduh sebagai inspektor polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau secara rasuah meminta suapan untuk dirinya iaitu wang RM3,000 daripada seorang individu.

Suapan itu sebagai balasan untuk melakukan sesuatu berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu kononnya membantu individu terbabit melepaskan jaminan bagi kes senjata api dan menggugurkan kes pedang samurai terhadap bapa individu terbabit di mana tertuduh ketika itu sebagai Pegawai Pendakwa bagi kes tersebut.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh yang mengaku salah terhadap pertuduhan itu dikenakan penjara bermula hari ini selain turut membayar denda yang dikenakan.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: