Aidilfitri: Penyedia pengangkutan awam sedia terima permintaan tinggi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang merantau untuk pulang ke kampung halaman dalam menyambut bulan Syawal, namun debaran kian terasa bagi pihak penyedia pengangkutan awam untuk menawarkan kemudahan itu dengan selamat.

Berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) yang menetapkan negara kini dalam Fasa Peralihan Ke Endemik, sekali gus memperlihatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), para penyedia perkhidmatan pengangkutan awam rata-rata sedang melakukan persiapan untuk menerima jumlah permintaan yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Riad Asmat berkata, untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, mereka menjangkakan untuk menerbangkan 75,000 penumpang dan mengendalikan 988 penerbangan kelima-lima hubnya di Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Sejak 1 April, kami telah melihat peningkatan 20 peratus untuk penerbangan AirAsia Malaysia untuk kedua-dua destinasi domestik dan antarabangsa.

"Kami telah bersedia untuk menerima penumpang kami menaiki pesawat dan memberikan perkhidmatan pengangkutan udara sekitar rantau ini pada musim perayaan.

"Perkhidmatan domestik kami untuk seluruh kumpulan telah meningkat 156 peratus pada beberapa bulan kebelakangan ini, akibat peningkatan permintaan pengguna, dan kami menjangkakan akan kembali kepada 100 peratus atau lebih untuk domestik dari pra-Covid pada hujung tahun ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin pula menambah, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menerima kehadiran penumpang yang semakin meningkat pada setiap bulan.

"Kami menawarkan jualan sebanyak 109,891 tiket bagi perkhidmatan ETS dan KTM Intercity, bagi tarikh 23 April hingga 8 Mei. Setakat 4 April, jumlah tiket yang telah terjual adalah sebanyak 35,000 tiket.

"Sekiranya jualan tiket menunjukkan trend yang memberangsangkan, kami juga akan mengambil kira untuk membuat perancangan tren tambahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rani juga memaklumkan tiket perjalanan pada tarikh 29 April hingga 1 Mei bagi laluan KL Sentral menuju Padang Besar telah habis dijual.

"Kami menyarankan para penumpang untuk membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati penjimatan yang berganda serta mengelakkan kehabisan tiket di saat akhir.

"Kami juga menggalakkan agar para penumpang membuat pembelian tiket secara dalam talian menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS), bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Ia lebih mudah, pantas dan efisien,” katanya.

Pengarah Operasi KwokPing Express Sdn Bhd Sam Sze Wei berkata, pihaknya sedang membaik pulih bas yang sudah lama tidak digunakan, kerana menjangkakan permintaan akan melonjak naik pada musim perayaan Aidilfitri bagi tahun ini.

"Daripada apa yang kita nampak sambutan dah semakin pulih, kerana masyarakat Cina sendiri dah mula gunakan perkhidmatan bas kami untuk balik menyambut perayaan QingMing, jadi saya jangka permintaan untuk hari raya pun akan agak tinggi juga.

"Lepas pembukaan sempadan itu ramai dari Singapura balik ke Johor dan mereka ingin kembali ke kampung halaman mereka,” katanya yang menjelaskan perjalanan bas ekspres itu melibatkan laluan dari Johor ke Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam. - Bernama