Jurulatih selam warga asing ditemui selamat masih trauma

Kristen Grodem ditemui selamat dan tiba di Stadium Mersing kira-kira 12.05 tengah hari menaiki helikopter dari Unit Udara Maritim sebelum dihantar ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut. - Foto Bernama
Kristen Grodem ditemui selamat dan tiba di Stadium Mersing kira-kira 12.05 tengah hari menaiki helikopter dari Unit Udara Maritim sebelum dihantar ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem yang ditemukan selamat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam, masih berada dalam keadaan trauma.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, siasatan menyeluruh tidak dapat dilakukan berikutan keadaan Grodem, 35, masih lemah dan tidak stabil.

"Kita masih tidak membuat siasatan yang menyeluruh disebabkan keadaannya yang lemah dan masih dalam keadaan trauma.

"Semalam, saya dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjumpa dengannya... beliau masih dalam keadaan yang tidak stabil untuk beri kerjasama," katanya dalam sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Cyril turut menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi ataupun fakta tidak tepat berhubung insiden terbabit yang dikhuatiri mengganggu proses pencarian.

"Spekulasi atau fakta tidak tepat (boleh) mengganggu dalam proses pencarian kami dan juga keluarga mangsa dan kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku.

"Sekiranya dikesan ada berlaku keadaan sedemikian termasuk menyebarkan berita-berita palsu yang (dikhuatiri) mengganggu penyiasatan kami ataupun berita tidak benar, pihak polis akan mengambil tindakan," tegasnya.

Dalam kejadian tengah hari Rabu lepas, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Grodem ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis.

Usaha mencari tiga lagi penyelam iaitu Alexia Alexandra Molina (18, warga Perancis); Adrian Peter Chesters (46, warga British) dan anaknya, Nathen Renze Chesters (14, warga Belanda), diteruskan hari ini. - Bernama