Polis rujuk SPRM laporan jual tanah lapangan terbang

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Polis sudah merujuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan satu laporan penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar yang dibuat oleh seorang individu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan sahaja.

"Saya boleh mengesahkan satu laporan diterima daripada seorang individu tentang isu ini. SPRM akan siasat kerana ia melibatkan bidang kuasa agensi itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi memaklumkan belum melakukan sebarang tangkapan atau memanggil individu yang disyaki terbabit kes berkenaan.

"Kita sedang mengkaji dokumen yang diperoleh daripada beberapa jabatan berkaitan. Pengumpulan bukti dan keterangan sedang dilaksanakan," katanya.

Sinar Harian melaporkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis menggesa siasatan secara menyeluruh segera dilakukan berhubung isu penjualan tanah bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa tersebut.

Isu tersebut timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan: