Quran.Com tangani ‘buta’ al-Quran orang dewasa

A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Pengajian Quran.Com tekad membantu masyarakat di negeri ini menangani masalah ‘buta’ al-Quran dalam kalangan orang dewasa menerusi modul yang telah dirangka.

Pengasasnya, Nik Mohd Kazim Nik Din berkata, modul itu dirangka berpandukan kepada beberapa kajian yang telah dilakukan sebelum ini.

“Kebanyakan golongan ini memberi alasan malu serta masalah kekangan masa yang menyebabkan mereka kurang mendalami al-Quran.

“Hasrat saya ialah mahu menangkis perasaan malu, supaya golongan ini dapat memahami al-Quran dengan lebih mendalam lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun beroperasi seramai 160 orang golongan dewasa berusia 30 tahun ke atas telah mengikuti pengajian di sini.

Pusat Pengajian Quran.Com memerlukan sumbangan dana bagi mengembangkan lagi usaha membantu lebih ramai pelajar mendalami al-Quran.
Pusat Pengajian Quran.Com memerlukan sumbangan dana bagi mengembangkan lagi usaha membantu lebih ramai pelajar mendalami al-Quran.

Beliau berkata, disebabkan pertambahan pelajar, pusat pengajian berkenaan sudah tidak dapat menampung jumlah yang ramai itu.

Ujarnya, salah seorang pelajar ada menawarkan banglo miliknya untuk dijadikan pusat pengajian baharu dan ia dijangka menelan kos pembelian sebanyak RM200,000.

Artikel Berkaitan:

Nik Mohd Kazim berkata, disebabkan pengajiannya berdasarkan sedekah daripada pelajar dan bukan berbentuk bayaran, beliau tidak mempunyai dana yang cukup untuk membeli banglo tersebut.

“Pusat Pengajian Quran.Com sekarang beroperasi di Taman Muttaqin, Jalan Dato Lundang dan ia sudah tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai dalam satu-satu masa.

“Pihak kami berharap agar orang ramai dapat menghulurkan sumbangan untuk kami mengembangkan lagi usaha membantu lebih ramai golongan dewasa pandai membaca al-Quran,” jelasnya.

Beliau juga berhasrat untuk menambah tenaga pengajar dan memerlukan dana untuk berbuat demikian.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Bank 8604105389 atas nama Al Ustaz Legacy dan boleh menghubungi Nik Mohd Kazim di talian 017-419 6100.