Polis tahan tiga individu, rampas dadah bernilai RM40,540

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam selepas disyaki memiliki dadah pelbagai jenis bernilai RM40,540 dalam dua serbuan di bandar raya ini, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Wong Leong Meng berkata, lelaki berkenaan ditahan bersama sejumlah dadah pada kira-kira 2.30 petang.

Beliau berkata, hasil maklumat lelaki tersebut, polis menyerbu satu unit kediaman di sebuah pangsapuri pada hari sama lalu menahan dua wanita warga Vietnam berusia 24 dan 33 tahun serta menemukan sejumlah dadah.

"Hasil penahanan ketiga-tiga mereka, polis merampas 58 peket jus campuran serbuk ekstasi dianggar bernilai RM37,700, 13.35 gram ketamin dianggar bernilai RM2,000, 13 biji pil ekstasi dianggar seberat 5.08 gram bernilai RM390 dan 30 biji pil erimin 5 dianggar bernilai RM450,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Leong Meng berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta Proton, kad akses pangsapuri selain menyita wang berjumlah RM6,220.

Katanya, ketiga-tiga mereka kini direman hingga 12 April untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: