Perak adakan bazar Ramadan di pekarangan bangunan kerajaan negeri

Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan di ruang parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan di ruang parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Buat julung kalinya Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak membuka ruang niaga Bazar Ramadan di dalam kawasan pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, mulai Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan Perak mengambil inisiatif itu bagi memberi peluang lebih ramai peniaga untuk menjalankan perniagaan di bulan Ramadan.

Menurutnya, perkara itu dilaksanakan setelah mengambil berat isu-isu berbangkit berikutan kekangan jumlah had peniaga yang dibenarkan beroperasi di atas tapak sedia ada susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

"Penganjuran Bazar Niaga Ramadan ini diharapkan dapat memberi ruang dan peluang kepada para usahawan untuk merancakkan pusingan ekonomi dan meningkatkan hasil jualan.

"Selain itu, ia memudahkan urusan penjawat awam dan para pengunjung yang lain untuk membeli keperluan dan makanan sepanjang bulan Ramadan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan di ruang parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani (kiri) menyampaikan cenderahati kepada usahawan yang terlibat sempena Majlis Perasmian Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan di ruang parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Saarani (kiri) menyampaikan cenderahati kepada usahawan yang terlibat sempena Majlis Perasmian Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan di ruang parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Hadir sama pada perasmian tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan exco kerajaan negeri.

Saarani berkata, seramai 32 orang usahawan makanan tempatan membuka gerai di bazar tersebut yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman serta aneka kuih-muih untuk juadah berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bazar tersebut beroperasi mulai 6 April hingga 29 April 2022 mulai jam 4 petang sehingga 8 malam pada setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran bazar tersebut juga mendapat kerjasama daripada Maybank dan LokeinSTORE yang menyediakan kemudahan pelaksanaan pembayaran tanpa tunai selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memantapkan pendigitalan usahawan negeri Perak.

"Pihak Maybank telah menyediakan platform pembayaran QR dan kemudahan pembukaan akaun perniagaan kepada peniaga terlibat dengan deposit serendah RM100.

"Selain itu, pihak LokeinSTORE turut menyediakan teknologi sistem e-Commerce (O2O) Lokein yang dilengkapi dengan sistem pembayaran QR, Online Marketing Tools dan pelbagai lagi kemudahan berkaitan database pelanggan," katanya.

Jelasnya, Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan berkenaan juga turut dibuka kepada orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa melalui pintu masuk berhampiran Muzium Darul Ridzuan.