Masyarakat belum bersedia ke fasa endemik

Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah
Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia belum bersedia sepenuhnya untuk ke fasa endemik Covid-19 meskipun mempunyai keinginan untuk ke arah tersebut, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah.

Beliau berkata, ia berdasarkan pemerhatian semasa daripada segi tingkah laku dan bagaimana masyarakat membawa diri masing-masing memastikan penularan tidak berlaku.

"Kalau kita lihat dalam pemerhatian yang kita lakukan, sebenarnya dari sudut keinginan kita untuk ke fasa endemik itu kita memang bersedia.

"Tapi dari sudut tingkah laku dan dari sudut bagaimana kita membawa diri kita dan memastikan persekitaran yang selamat, dan virus Covid-19 berada pada tahap yang terendah, sebenarnya kita masih belum bersedia sepenuhnya.

"Oleh kerana itu kita harus menekankan bukan sahaja dalam media massa tapi dalam setiap kesempatan yang ada seperti majlis-majlis ilmu supaya kita perlu memastikan bahawa apabila kita ingin transisi ke fasa endemik ini, maka kita juga bersedia untuk melakukan perkara-perkara yang perlu iaitu menjaga keselamatan bukan sahaja diri kita tetapi juga ahli keluarga dan masyarakat secara umum," katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Wacana Sinar siri 335 bertajuk `Puasa Endemik, selamatkah kita?‘ dikendalikan oleh Ismail Adnan itu turut membariskan Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari dan Ahli Majlis Dakwah Negara, Shahrizan Daud At-Turabi sebagai panelis.

Mohamed Rusli menambah, kerana itu masyarakat diingatkan agar menghindari lokasi tumpuan orang ramai sekiranya bergejala.

"Kita masih lihat ada yang batuk-batuk ketika berjemaah di masjid atau menaiki pesawat. Walaupun batuk tidak semestinya Covid-19, tapi ia antara gejala yang perlu dihindari.

Artikel Berkaitan:

"Kalau bergejala juga jangan ke bazar Ramadan. Pakai pelitup muka sebab kita tidak tahu apa sebenarnya keadaan kesihatan orang-orang yang berada disekeliling kita," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, bulan puasa merupakan masa terbaik untuk memastikan virus Covid-19 berada pada tahap yang terendah.

Ujar beliau, ini kerana berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan, puasa sebenarnya banyak memberikan kelebihan dalam melawan agen-agen penyakit berjangkit.

"Dengan berpuasa membuktikan bahawa kita dapat mengurangkan penanda-penanda radang dalam diri kita. Kita tahu penanda-penanda radang ini ada menyebabkan penyakit Covid-19 dan mendapat gejala yang teruk," katanya.