Pemilihan PKR: Aminuddin belum buat keputusan

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih belum membuat keputusan untuk bertanding Ketua Cabang Port Dickson pada pemilihan PKR kali ini.

Beliau secara berseloroh memberitahu keputusan itu hanya akan dibuat apabila menandatangani borang pencalonan.

"Saya akan pertimbang nak bertanding atau tidak. Bulan Ramadan ini banyak masa sikit. Saya minta diberi petunjuk dan hidayah.

"Saya akan maklum nanti, sama-samalah tunggu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Aminuddin menegaskan perpindahan keahliannya dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson pada 31 Januari lalu merupakan kehendak sendiri.

Katanya, dalam politik, perpindahan adalah perkara biasa dan tiada campur tangan kepimpinan parti di peringkat Pusat.

Beliau turut mengesahkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Tampin juga sudah tergugur dan kini dipangku oleh Timbalan Ketua Cabang Tampin sehingga pemilihan parti berlangsung.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar turut mengalu-alukan debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perdebatan itu penting bagi memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat tentang hal yang sebenarnya berlaku.

"Sebenarnya debat boleh diadakan pada bila-bila masa bergantung pada topik dan perbincangannya. Itu penting untuk kefahaman masyarakat.

"Kita tidak mahu masyarakat diberitahu hanya apabila nak tiba pilihan raya sedangkan banyak isu boleh dibincangkan secara perdebatan supaya masyarakat tahu apa sebenarnya berlaku," katanya pada sidang akhbar

Ujarnya, perdebatan antara pemimpin lain turut dialu-alukan kerana boleh dijadikan platform penyampaian maklumat sebenar kepada masyarakat.