Tiada iftar di masjid, AJK edar pek bubur lambuk

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini, mengacau bubur lambuk yang dimasak sejak pagi, dan dibungkus selepas waktu Zohor untuk diedarkan kepada orang ramai selepas Asar setiap hari sepanjang Ramadan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini, mengacau bubur lambuk yang dimasak sejak pagi, dan dibungkus selepas waktu Zohor untuk diedarkan kepada orang ramai selepas Asar setiap hari sepanjang Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun majlis berbuka puasa masih belum boleh diadakan di masjid, namun pihak Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini masih mengedarkan pek bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang Ramadan tahun ini.

Penolong Pengurus Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini, Suhairi Jairi berkata, sebanyak 450 bekas bubur lambuk diedarkan kepada para jemaah yang hadir ke masjid tersebut selepas waktu Asar bermula Ahad setiap hari.

Menurutnya, hidangan tradisi sejak lebih 30 tahun lalu itu mula dimasak bermula pada jam 8 pagi sehingga waktu Zohor, kemudian dibungkus selepas solat fardu Zohor sebelum diagihkan kepada orang ramai pada waktu petang.

"Bubur lambuk di sini adalah hidangan tradisi yang dibuat sejak lebih 30 tahun lalu, yang mana kita buat setiap hari sepanjang Ramadan. Kalau macam tempat lain, mungkin mereka buat pada hari-hari tertentu.

"Kita ada terima cadangan untuk masak hidangan lain, tapi kita kekalkan dengan bubur lambuk kerana ia tradisi yang dikenali orang sekitar sini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, Suhairi berkata, majlis iftar akan diadakan sekiranya bilangan jemaah yang hadir di sini untuk mengimarahkan masjid tersebut terus meningkat.

Menurutnya, pemerhatian akan dibuat oleh pihaknya pada minggu pertama Ramadan ini supaya keputusan tersebut boleh dibuat.

"Sebelum ini kita adakan majlis berbuka puasa seramai 120 orang. Tapi mereka pun masih takut-takut untuk datang ke masjid, jadi kita akan lihat dulu dalam masa seminggu dua ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang bila kita sediakan (hidangan berbuka puasa), tidak ramai jemaah yang datang. kita ada rancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa di masjid, namun ia tertakluk kepada jumlah jemaah yang datang ke masjid ini," katanya.