Kerani rugi RM9,500 ditipu beli iPhone 12

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Seorang kerani kerugian RM9,500 selepas ditipu semasa membeli sebuah telefon pintar jenis iPhone 12 menerusi laman sosial Instagram pada bulan lepas.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa seorang wanita berusia 24 tahun telah melayari sebuah akaun di Instagram pada 20 Mac lalu dan berminat untuk membeli sebuah telefon jenama iPhone 12 yang diiklankan.

Menurutnya, mangsa telah berurusan dengan seorang individu dan diminta melakukan pembayaran melalui pautan yang diberikan menerusi aplikasi WhatsApp bagi tujuan pengesahan pembelian.

"Mangsa telah menekan pautan tersebut dan membuat pembayaran ke dalam sebuah akaun bank melalui transaksi dalam talian sebanyak RM1,300 pada 21 Mac lalu," katanya selepas mengesahkan laporan pada Ahad.

Chang Hook berkata, bagaimanapun pada Khamis lepas ketika mangsa membuat semakan baki dalam akaunnya mendapati ia berkurangan.

"Hasil semakan di kaunter bank, wang mangsa telah dipindahkan ke dalam sebuah akaun atas nama seorang individu pada 21 Mac sebanyak empat kali tanpa pengetahuannya berjumlah RM9,500.

"Mangsa telah tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau pada Jumaat lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: