Tuchel sifatkan Chelsea tertidur 10 minit

Janelt meraikan jaringannya ketika membantu pasukannya menewaskan Chelsea 1-4 di Stamford Bridge pada Sabtu.
Janelt meraikan jaringannya ketika membantu pasukannya menewaskan Chelsea 1-4 di Stamford Bridge pada Sabtu.
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel mengkritik persembahan yang ditampilkan pasukannya terutamanya di barisan pertahanan yang seolah tidur sehingga menyebabkan gawang The Blues dibolosi tiga kali dalam tempoh 10 minit.

Menurut jurulatih kelahiran Jerman itu, beliau seolah tidak faham mengapa perkara tersebut berlaku memandangkan pasukannya berjaya mendapat gol awal pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge, sekaligus menyaksikan Chelsea tewas 1-4 kepada Brentford pada Sabtu.

“Tiada siapa sangka kami dibolosi dengan jumlah yang besar selepas berjaya mendapat gol awal pada perlawanan ini. Ia seperti mereka (pemain) bermain daripada luar kebiasaannya dan barisan pertahanan seolah melakukan kerja sambil tidur.

“Peluang itu berjaya digunakan lawan untuk menghukum kami dengan tiga gol dalam tempoh 10 minit. Bagaimanapun kami terpaksa akur dengan kekalahan ini dan perlu lebih fokus menghadapi perlawanan selepas ini,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, juara dunia itu berjaya membuka tirai jaringan pada babak kedua di Stamford Bridge menerusi gol tonggak pertahanan, Antonio Rudiger pada minit ke-48 untuk meletakkan Chelsea di depan.

Bagaimanapun kelebihan tersebut tidak kekal lama apabila pemain sayap The Bees, Vitaly Janelt menyamakan kedudukan seminit kemudian dan juga menjadi pencetus gol kedua Christian Eriksen pada minit ke-54.

Janelt sekali lagi berjaya mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-60 sebelum pemain gantian Yoane Wissa menamatkan malam gemilang Brentford apabila berjaya menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.

Untuk rekod, Brentford kini memenangi kesemua tiga perlawanan Liga Perdana di mana Eriksen membarisi kesebelasan utama selepas gagal melakar kemenangan sepanjang lapan perlawanan sebelum itu.

Artikel Berkaitan: