MEDAC bantu susun pembiayaan usahawan terjejas Covid-19

Noh
Noh
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI]Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengadakan perbincangan dengan Bank Rakyat serta SME Bank untuk proses penyusunan atau penjadualan semula pembiayaan usahawan yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri berkenaan, Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan bagi membantu usahawan untuk bangkit semula turut diutarakan beliau pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

"Ramai usahawan datang berjumpa saya dan maklumkan bahawa mereka tidak dapat membayar hutang pinjaman walaupun pihak bank menyediakan moratorium. Jadi saya sudah bincang dengan dua agensi perbankan ini untuk menyusun atau menjadualkan semula pembayaran pinjaman.

"Dengan cara ini, kita dapat bantu dan bagi peluang kepada mereka untuk bangkit semula lebih-lebih lagi apabila sempadan negara dibuka semula,” katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Susulan pembukaan semula sempadan yang berkuat kuasa semalam, Noh berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada usahawan terutama pengusaha industri pelancongan memandangkan pengembara antarabangsa kini dapat memasuki negara untuk tujuan pelancongan.

Beliau berkata, ini termasuk pengendali perkhidmatan bas pelancongan dan pemilik inap desa.

"Bila sudah dua tahun tidak beroperasi, mereka perlukan masa untuk bayar semula pinjaman. Untuk bangkit semula, contohnya pemilik inap desa, mereka perlu baiki inap desa terbabit. Begitu juga dengan pengusaha bas pelancongan,” katanya.

Noh juga yakin proses penyusunan atau penjadualan semula pembiayaan dapat membantu usahawan terbabit memulakan kembali perniagaan mereka sekali gus membayar balik pinjaman secara berjadual kelak.

Ditanya jumlah bantuan yang telah diagih oleh MEDAC, beliau berkata sehingga kini kementerian itu telah memperuntuk bantuan sebanyak RM50 juta kepada usahawan mikro terjejas banjir tahun lepas, RM100 juta untuk usahawan industri kecil dan sederhana serta RM200 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro.

Artikel Berkaitan:

"Kita di MEDAC akan terus cakna dan prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi usahawan di negara ini kerana merekalah yang akan bantu rancakkan semula ekonomi negara selain meningkatkan pendapatan masing-masing,” katanya. - Bernama