Kelonggaran beri kegembiraan kepada rakyat Malaysia

Mohammad Shatar
Mohammad Shatar
A
A
A

SHAH ALAM - Kelonggaran yang diberikan mulai Jumaat memberikan kesan psikologi kegembiraan dan keseronokan kepada rakyat Malaysia.

Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara yang dinantikan selama dua tahun akhirnya direalisasikan.

Menurutnya, rakyat Malaysia juga dapat kembali merapatkan hubungan ukhuwah sesama mereka yang selama ini tergendala disebabkan pelbagai sekatan.

“Hari ini (Jumaat) mereka dapat laksanakannya. Selain itu, keseronokan mengimarahkan masjid juga dapat mereka rasai dengan kebenaran merapatkan saf di dalam solat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohammad Shatar berkata, disebabkan kelonggaran itu juga, rakyat Malaysia akan kembali bersemangat dalam kehidupan sosial mereka.

“Kita mengharapkan semangat ini dapat membantu kerajaan menjana ekonomi. Dalam masa yang sama jangan mereka terlepas pandang dan lalai dengan prosedur operasi standard (SOP),” tegas beliau.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa rakyat masih lagi terikat dengan SOP walaupun negara ini membuka sempadan dan dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal.

“Kelonggaran ini diberikan untuk merancakkan sektor ekonomi selain kerajaan sedar bahawa tahap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka merupakan satu keutamaan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah melakukan perkara ini secara seimbang,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan kelonggaran yang dinikmati itu juga, semua pihak perlu membantu kerajaan dalam mengelakkan Covid-19 tersebar seperti yang telah berlaku sebelum ini.