'RM10,000 bantu tampung hidup selepas ditimpa kemalangan'

Eddy Zamzuri mengemaskini maklumat peribadi di Pejabat KWSP Kuala Terengganu.
Eddy Zamzuri mengemaskini maklumat peribadi di Pejabat KWSP Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Permohonan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan kerajaan bermula hari ini amat dinantikan kerana ia memberi nafas baharu dan meringankan bebanan golongan yang benar-benar memerlukan.

Seorang pencarum, Eddy Zamzuri Yusof, 42, berkata, keputusan kerajaan membenarkan mengeluarkan wang itu ditunggu-tunggu memandangkan dia tidak mampu lagi bekerja selepas terlibat kemalangan jalan raya enam bulan lalu.

Eddy Zamzuri
Eddy Zamzuri

"Alhamdulillah, rasa syukur sangat sebab dapat keluarkan wang simpanan ini kerana saya belum dapat bekerja selepas kaki kanan patah akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu.

"Disebabkan saya tiada terima imbuhan gaji sepanjang tempoh itu, RM10,000 ini benar-benar membantu saya dalam menampung kehidupan dan menyara keluarga kerana wang simpanan juga sudah menyusut, isteri pula tidak bekerja kerana menjaga tiga anak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat KWSP disini, pada Jumaat.

Sementara itu, seorang lagi pencarum, Hashimah Hashim, 50, berkata, dia akan menggunakan wang carumannya itu untuk disimpan di tabungan lain dan akan dikeluarkan bagi menampung perbelanjaan pengajian anaknya.

"Sekarang semua kos naik. Untuk sambung pengajian di universiti juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Hashimah
Hashimah

Artikel Berkaitan:

"Bukan senang untuk dapat peluang ini. Bila dapat peluang begini, saya tidak akan lepaskan kerana wang ini saya akan simpan di tempat lain dan akan keluarkan apabila ada keperluan mendesak," katanya.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Dua pencarum, Mohamad Faiz Abdul Kalid (kiri) dan Mohd Faiz Mohd Shafie memeriksa maklumat peribadi di Pejabat KWSP Kuala Terengganu.
Dua pencarum, Mohamad Faiz Abdul Kalid (kiri) dan Mohd Faiz Mohd Shafie memeriksa maklumat peribadi di Pejabat KWSP Kuala Terengganu.

Sementara itu, KWSP dalam satu kenyataan berkata, permohonan untuk pengeluaran khas KWSP akan dibuka kepada ahli di bawah usia 55 tahun.

Katanya, proses permohonan akan bermula 1 April dan tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.