Dua rakan berdepan hukuman gantung bunuh gelandangan

Joel V Michael Louis (dua dari kiri) dan Muhammad Aliff Daniel (tiga dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Joel V Michael Louis (dua dari kiri) dan Muhammad Aliff Daniel (tiga dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Dua rakan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Muhammad Aliff Daniel Ong Abdullah dan Joel V Michael Louis masing-masing berusia 20 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Mohd Eddie Hafiez Yusof, 42, di hadapan kedai bernombor 89 Lot G Jalan persisiran Bunga Raya antara jam 1 hingga 3.45 pagi pada 15 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret Mazana kemudiannya menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri manakala kedua-dua mereka diwakili peguam Andrew Lourdes dan Amritpal Singh.

Artikel Berkaitan: