Buka sempadan: Detik bermakna sambut Ramadan di tanah air

Kelihatan rakyat Malaysia di Singapura yang menaiki motosikal sendiri sudah mula berkumpul di pintu masuk negara untuk memasuki Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru.
Kelihatan rakyat Malaysia di Singapura yang menaiki motosikal sendiri sudah mula berkumpul di pintu masuk negara untuk memasuki Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suasana sebak bercampur kegembiraan memenuhi sepanjang laluan keluar dari Tambak Johor di sini, apabila ribuan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dilihat mula berpusu keluar dari negara berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam tadi, pada Jumaat turut mendapati keadaan sudah mulai sibuk dengan kemasukan kenderaan seperti motosikal dan kereta ke sempadan negara.

Lebih manis, peluang kembali ke tanah air itu juga dilihat sebagai detik bermakna khususnya kepada pekerja beragama Islam selepas hampir dua tahun tidak menyambut Ramadan bersama keluarga tersayang.

Menurut rakyat Malaysia yang bekerja di sektor pembinaan di Singapura Fajrul Rizal Abu Bakar, 28, perasaannya tidak dapat diungkap dengan kata-kata kerana terlalu gembira apabila sudah dua tahun tidak pulang ke kampung halaman.

“Dua tahun saya tak balik.. Perasaan itu susah nak kata sebab saya adalah antara rakyat yang masa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) umum pada 16 Mac 2020 jam 11.59 malam sedang balik dari Singapura menaiki motosikal.

“Tetapi ketika itu tiada pengesahan lagi, ada ke tidak ‘lockdown’, jadi esoknya 17 Mac 2020 saya kembali semula ke Singapura dan pengumuman tutup sempadan dibuat pada malam itu, jadi saya sedang bekerja dan tidak boleh balik sehingga ke hari ini.

“Dari dua minggu ke dua minggu sehingga dua tahun, saya bersabar dan kuatkan hati untuk keluarga tercinta, akhirnya dapat balik dan manisnya dapat sambut puasa serta luangkan masa dengan mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan laluan keluar Tambak Johor di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura secara rasmi mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Artikel Berkaitan:

Fajrul Rizal
Fajrul Rizal

Fajrul Rizal berkata, dirinya juga bersyukur kerana sehingga sempadan akhirnya dibuka dia masih dikurniakan kesihatan yang baik dan boleh kembali ke pangkuan keluarga seperti kali terakhir keluar mencari rezeki di Kota Singa.

“Rasa sangat bersyukur, umur panjang...sebab ada dalam kalangan kami yang meninggal dunia, ada meninggal di tempat kerja, ada yang terlalu stress sehingga bunuh diri. Kita lalui semua ini.

“Nak gambarkan bukan senang nak cari duit, kita kena kuatkan hati dan rajin, jangan sesekali ambil jalan mudah hingga terlibat dalam jenayah, bekerjalah walaupun perit,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, R Suresh, 49, berkata, kehidupan selama dua tahun di Singapura dengan kos hidup yang sangat tinggi, menyebabkan dia tidak sabar untuk pulang ke Malaysia.

Suresh (kanan) memeluk anak lelakinya sebaik berjaya menyeberangi Tambak Johor dengan berjalan kaki, tengah malam Jumaat.
Suresh (kanan) memeluk anak lelakinya sebaik berjaya menyeberangi Tambak Johor dengan berjalan kaki, tengah malam Jumaat.

Suresh yang menjadi antara orang terawal melepasi sempadan negara dengan berjalan kaki memaklumkan dia kini hanya mahu meluangkan masa sebanyak mungkin bersama tiga anaknya.

"Kehidupan kita di sana, memang kos sara hidup sangat tinggi. Dua tahun di sana, kita dah belanja terlalu banyak wang. Tetapi, ada majikan yang sangat baik dan majikan saya sendiri sangat memberi sokongan kepada saya.

"Esok, saya akan luangkan masa dengan anak-anak. Sudah lama tidak bertemu dan mahu bawa mereka jalan-jalan," kata pegawai sumber manusia di Singapura itu.

Dalam pada itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Tiong Chi Sing, 40, berkata, peluang untuk kembali semula ke Malaysia selepas sekian lama meninggalkan keluarga adalah sesuatu yang dinanti-nanti.

Dia yang juga seorang jurutera turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Singapura yang akhirnya membuat keputusan terbaik demi rakyat mereka.

“Balik ini saya mahu berehat seketika, habiskan masa bersama orang terdekat saya, ini memang sesuatu yang saya tunggu sejak sekian lama. Akhirnya sempadan dibuka dan kami boleh teruskan kehidupan seperti biasa.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan juga Singapura dengan keputusan terbaik ini, sesungguhnya usaha ini amat memberi kebaikan dan kegembiraan di setiap hati golongan seperti kami,” katanya.