Kualiti sungai di Pahang di tahap baik

Rosli (kanan) dan Azlimi melontar mudball ke dalam Sungai Balok.
Rosli (kanan) dan Azlimi melontar mudball ke dalam Sungai Balok.
A
A
A

KUANTAN - Kualiti air sungai di negeri ini secara keseluruhan berada pada tahap baik berdasarkan bacaan yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang melalui 197 stesen pengawasan kualiti airnya.

Daripada keseluruhan bacaan direkodkan, sembilan segmen sungai berada pada kelas satu (sangat baik), 173 mencatatkan bacaan pada kelas dua dan 15 pada tahap kelas tiga.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul berkata, setakat ini, tiada segmen sungai yang mencatatkan pencemaran serius pada kelas empat dan lima.

Menurutnya, daripada keseluruhan stesen pengawasan kualiti air yang ada, data bacaan dua daripadanya diambil secara atas talian dan selebihnya secara manual dan konsisten pada frekuensi ditetapkan.

“Bacaan indeks kualiti air sungai itu penting bagi melihat sejauh mana kesan pembangunan terhadap kualiti air sungai.

“Data bacaan yang diambil bukan untuk tujuan penguatkuasaan tetapi pengukuran stesen ini bagi memberi gambaran kelas kualiti airnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Melontar Bebola Lumpur (mudball) Sempena Sambutan Hari Air Sedunia Bersama Komuniti anjuran bersama JAS dan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd di Jeti Nelayan Balok di sini, hari ini

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd, Azlimi M Lazim.

Artikel Berkaitan:

Program itu disertai pelajar dan guru dari empat sekolah sekitar Balok, penduduk dan kakitangan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd.

Rosli berkata, kelas-kelas sungai itu boleh menjadi petunjuk kepada pihak yang membuat keputusan utuk cadangan sebarang pembangunan kawasan berkenaan supaya mereka mengenal pasti komplikasinya terhadap kualiti air.

“Melalui petunjuk itu juga dapat menentukan sama ada cadangan pembangunan yang dicadangkan boleh diteruskan atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Azlimi berkata, penggunaan bebola berlumpur atau mudball yang dihasilkan secara biologi menggunakan tanah, serkam padi, gula perang dan mikrob aktif merupakan satu inisiatif dalam usaha memelihara sungai.

Menurutnya, kaedah ini merupakan satu teknologi yang dapat membantu menjamin ekosistem sungai dengan menguraikan 'sludge' dan meningkatkan bilangan mikroorganisma bagi meningkatkan kualiti air.

“Hari ini kita melontar 1,200 mudball yang dihasilkan pelajar sekolah yang terlibat selepas mengikuti bengkel penghasilannya baru-baru ini.

‘Campuran ini perlu dikeringkan dalam tempoh dua minggu sebelum ia boleh digunakan,”katanya.

Beliau berkata, mudball itu merupakan satu kaedah untuk menyuburkan bakteria yang berfungsi memakan pencemar dan membantu menjernihkan serta meningkatkan kualiti air,” katanya.

Menurutnya, kawasan yang dimasukkan mudball itu akan dipantau dan rekod bacaan air akan diambil bagi melihat keberkesannya.