Enam lelaki ditahan disyaki terlibat samun kilang

Beng Yeow
Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Polis menahan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian samun bersenjata di sebuah kilang di Jalan Seelong, di sini pada 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun itu dibuat menerusi beberapa siri serbuan pada Selasa dan Rabu lalu.

Menurutnya, suspek ditahan di beberapa lokasi melibatkan kawasan Senai, Ulu Tiram dan Johor Bahru.

“Laporan diterima daripada seorang pengadu iaitu pekerja kilang berkenaan yang memaklumkan dirinya telah diserang empat lelaki tempatan bersenjatakan parang panjang.

“Ketika kejadian pada jam 5.11 pagi, 6 Mac lalu, mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian bahu sebelah kiri selain suspek berjaya melarikan barangan berupa dua beg gangsa dan tembaga masing-masing seberat satu tan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beng Yeow berkata, dalam serbuan yang dilakukan, beberapa barangan berupa peti besi, parang, pakaian, telefon bimbit dan peralatan samun telah ditemui.

Katanya, semakan juga mendapati lima daripada suspek memiliki rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi membuktikan kes ini selain polis juga menyiasat kaitan kesemua suspek dengan kes-kes samun di sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 April depan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.