Kerajaan bantu lebih 400 PMKS menerusi Ekspo 2020 Dubai

 Ekspo 2020 Dubai. - Foto Bernama
Ekspo 2020 Dubai. - Foto Bernama
A
A
A

DUBAI - [DIKEMAS KINI] Lebih 400 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia diberi peluang untuk melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Ekspo 2020 Dubai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, ia merupakan ruang buat PKMS itu mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

"Kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS ini di Ekspo 2020 Dubai, mereka hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal terbang sahaja.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasakan PMKS. Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai di sini pada Rabu.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam meraikan kepelbagaian budaya, Pavilion Malaysia turut mengadakan pelbagai kerjasama kebudayaan termasuk dengan Arab Saudi, Argentina, Australia, Brazil, India, Kemboja, Myanmar, Poland, Thailand, Vietnam dan United Kingdom serta Pavilion ASEAN.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5 Tahun Dubai.

"Kita berhasrat agar Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia menjadi pencetus inspirasi kepada inovator masa depan,” katanya.

Perdana Menteri sebelum itu meluangkan masa melawat Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

Ekspo 2020 Dubai berlangsung dari Oktober 2021 hingga 31 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Kumpulan Aerodyne akan menjadikan Pavilion Malaysia sebagai ibu pejabat kedua global syarikat itu.

Hadir sama, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Josep Kurup. - Bernama