Hantar komunikasi lucah: Pekerja kontrak dipenjara tiga tahun

Seorang pekerja kontrak pembinaan dipenjara tiga tahun kerana menghantar komunikasi lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Seorang pekerja kontrak pembinaan dipenjara tiga tahun kerana menghantar komunikasi lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
A
A
A

SEPANG - Padah menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook, seorang pekerja kontrak pembinaan dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap, Muhammad Hakim Habibullah, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas 12 pertuduhan dihadapinya mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Noorhisham menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dihadapi Muhammad Hakim dan ia dijalankan secara berasingan. Tempoh hukuman itu bermula dari tarikh dia ditahan pada 23 Februari lepas.

Muhammad Hakim mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah melalui aplikasi WhatsApp dan memuat naik kandungan sama di laman Facebook miliknya antara 21 September 2018 dan 23 Jun 2019.

Muhammad Hakim sebelum itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan diberikan kepadanya kerana dia mempunyai tanggungan iaitu ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil yang mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum. - Bernama

Artikel Berkaitan: