7 suspek kes samun kedai alat ganti komputer diberkas

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Seramai tujuh individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun sebuah kedai menjual peralatan alat ganti komputer di Bandar Damai Perdana di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 36 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang pada jam 12.30 tengah malam Rabu.

"Kita turut merampas tiga buah kereta, sebuah van, lima telefon bimbit, dua komputer riba, laptop dan 36 mesin bitcoin.

"Kesemua suspek yang ditahan mengaku terlibat di dalam kes itu dan mereka direman selama lima hari bermula Rabu hingga Ahad bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, media melaporkan seorang pengawal keselamatan menempuh detik mencemaskan apabila diserang sekumpulan individu bersenjatakan kayu besbol dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual peralatan alat ganti komputer di Bandar Damai Perdana.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu mangsa didakwa sedang bekerja di premis berkenaan diserang 15 individu.

Kesemua suspek bertindak memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan alat ganti komputer yang berada di dalam premis di tingkat satu yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Suspek terlibat dipercayai menggunakan kenderaan jenis Nissan Navara berwarna kelabu, Toyota Hiace, Perodua Alza dan Proton Exora masing-masing berwarna putih.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222," katanya.