Piala TNB: THT buru treble, TNB takkan beri laluan mudah

Roslan Jamaluddin
Roslan Jamaluddin
A
A
A

TERENGGANU Hockey Team (THT) bertekad untuk mempertahankan gelaran juara apabila menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Pengendali THT, Roslan Jamaluddin optimis dapat mengekalkan gelaran itu, sekali gus mencipta sejarah untuk meraih gelaran ‘treble’ buat kali pertama musim ini, selepas menjuarai Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Sumbangsih 2022.

"TNB sudah tentu ada misi balas dendam mereka sendiri (selepas terlepas LHM dan Piala Sumbangsih), dan saya yakin mereka (THT) akan berikan yang terbaik untuk menang. Sudah pasti kita akan dapat lihat saingan sengit daripada kedua-dua pasukan,” katanya pada sidang media pra perlawanan pada Selasa.

Kapten THT, Faizal Saari pula berharap kesemua rakan sepasukannya dapat memberi yang terbaik dalam melengkapkan misi mengekalkan Piala TNB di negeri pantai timur itu.

"Saya tahu itu bukan kerja mudah kerana TNB dibarisi pemain muda dan fit, tetapi untuk THT kita akan cuba sedaya upaya dan menang kalah itu lain cerita. Bagi saya THT belum pernah menang treble, kalau kita menang esok ia merupakan satu sejarah buat THT,” katanya.

Sementara itu, kapten TNB, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan berkata, pihaknya tidak akan memberikan laluan mudah buat THT, dan akan berjuang habis-habisan untuk menamatkan kemarau piala selama sembilan tahun.

"Kita selalu jumpa THT di perlawanan penting, kita berjumpa di Piala Sumbangsih kemudian di aksi terakhir ini, saya akan gunakan peluang yang ada untuk membawa pulang satu piala,” katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan: