KJ minta isu MySejahtera dibahas di Dewan Negara

Khairy (depan, dua dari kanan) mengadakan lawatan ke Hospital Port Dickson pada Selasa.
Khairy (depan, dua dari kanan) mengadakan lawatan ke Hospital Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta Yang Dipertua Dewan Negara membenarkan satu usul berkaitan isu MySejahtera dibahas dalam sidang Dewan Negara Khamis ini.

Menurutnya, terdapat banyak pertikaian mengenai perkara itu yang boleh menimbulkan salah faham.

"Tiada apa yang saya mahu sembunyikan. Mereka membangkitkan perkara ini kerana mungkin tidak tahu atau tidak membaca sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja di Hospital Port Dickson di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta kerajaan menjelaskan dakwaan penglibatan MySJ Sdn. Bhd. dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.

Khairy mengakui memahami kebimbangan masyarakat yang data peribadi mereka disalah guna dan kerana itu lebih baik dijawab dalam sidang Dewan Negara.

Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, beliau memberitahu, pelantikan syarikat Kpisoft(M) Sdn Bhd untuk menguruskan aplikasi MySejahtera dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada awal pandemik lagi.

"Saya difahamkan yang MKN telah menjemput beberapa syarikat untuk pembentangan aplikasi itu. MKN memilih syarikat Kpisoft yang dijenamakan sebagai Entomo Malaysia Sdn Bhd yang kemudian memberi lesen kepada syarikat MySJ Sdn Bhd.

"Jadi kita telah berunding dengan syarikat yang memberi perkhidmatan sejak awal lagi kerana mereka yang membangunkan platform itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Khairy, berkenaan pelantikan syarikat itu ia dalam proses untuk dijadikan sebagai kontrak rasmi.

Beliau turut menjelaskan status vaksinasi lengkap penerima vaksin Sinovac yang akan hilang jika tidak mengambil dos penggalak sebelum 1 April ini, Khairy berkata, ia kekal dan tiada tempoh lanjutan diberi.

"Tiada apa-apa lanjutan. Cuma esok (Rabu) saya akan buat beberapa pindaan mengenai prosedur operasi standard (SOP)," katanya.