Jangan ambil ringan impak daripada krisis Rusia-Ukraine

Malaysia tidak boleh mengambil ringan krisis peperangan yang sedang berlaku antara Rusia dan Ukraine. - Gambar hiasan
Malaysia tidak boleh mengambil ringan krisis peperangan yang sedang berlaku antara Rusia dan Ukraine. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak boleh mengambil ringan krisis peperangan yang sedang berlaku antara Rusia dan Ukraine kerana sebarang kemungkinan seperti krisis makanan boleh berlaku kepada negara jika tiada tindakan holistik diambil kerajaan.

Profesor Kewangan dan Pakar Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)- Graduate School of Business (GSB),, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, tatkala negara sedang dalam usaha mencapai era yang sofistikated, agak kurang bijak mengambil langkah mudah beralih ke sektor pembuatan sebagai bidang ekonomi utama daripada sektor pertanian.

"Sedangkan dengan pertanian itu, ada Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), boleh diadakan teknologi yang canggih seperti ‘sensing technology’ dan sebagainya.

"Malaysia perlu lihat kepada dimensi ini. Saya akui wujud satu kerisauan kerana walaupun Rusia dan Ukraine tidak secara langsung mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan Malaysia, tetapi ia mempunyai kesan langsung terhadap rantaian barangan dan makanan ke atas kita," katanya sebagai ahli panel dalam Siri Wacana Alumni UKM-GSB bertajuk Konflik Rusia-Ukraine: Impak Terhadap Ekonomi Malaysia yang turut disiarkan secara maya pada Selasa.

Noor Azlan berkata, ketika ini walaupun destinasi eksport negara kebanyakannya tertumpu di sekitar benua Asia, namun berikutan saiz negara yang agak kecil Malaysia amat bergantung kepada sebarang perkembangan global kerana permintaan hasilan negara akan berkurang apabila berkurangnya permintaan.

Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi yang mempunyai saiz eksport besar, Malaysia akan mengalami kesukaran apabila berlakunya sekatan ekonomi bukan sahaja ke atas sesebuah negara berkenaan, tetapi juga dari segi laluan yang mana ia perlu melalui sempadan negara yang menghadapi sekatan bagi tujuan eksport dan import.

Ini sekali gus memberi impak ekonomi yang buruk kepada Malaysia walaupun kita tidak mempunyai pelaburan yang besar di benua Eropah.

"Ekoran ini, permintaan terhadap eksport negara akan menurun dan kesan seterusnya juga dapat dilihat kepada kenaikan komoditi seperti harga minyak dan inflasi di mana harga indeks makanan turut semakin melonjak.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita juga masih berada dalam situasi melawan pandemik Covid-19 dan menghadapi masalah alam sekitar seperti banjir di Lembah Klang yang menyumbang kira-kira 40 peratus hasil negara. Ini semua bukan mudah dan bukan seperti yang dialami Malaysia dalam krisis sebelum ini (1998/99 dan (2008/2009) yang lebih menjurus kepada isu kewangan," katanya.

Justeru, Noor Azlan menggesa agar semua pihak tidak mengambil remeh situasi global yang sedang berlaku sekarang dan membuat persediaan awal serta mengambil tindakan perubahan struktur yang cepat bagi menjamin keselamatan makanan dan kesihatan negara.

Sebagai contoh, katanya, walaupun negara mampu menghasilkan ternakan dan hasil bumi sendiri, namun kenaikan harga baja diimport yang melonjak sehingga 100-200 peratus serta kekurangan tenaga kerja sudah pasti akan memberi tekanan kepada harga hasil jualan makanan mentah, apatah lagi yang telah diproses.

"Ini bukan perkara baharu yang dibincangkan. Ia adalah perkara pokok yang telah sekian lama diketengahkan sejak tahun 2005.

"Saya berharap kita dapat berubah dengan adanya ketelusan data dan kefahaman yang lebih menyeluruh untuk bagaimana kita perlu membelanjakan sumber ke arah lebih mampan. Kita perlu membuat persediaan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan demi kelangsungan hidup rakyat," tambahnya. - Bernama