Azan berkumandang secara langsung di seluruh New Zealand

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berada di Hagley Park bagi memperingati mangsa yang maut susulan serangan masjid Christchurh pada 15 Mac lalu. - Foto AFP
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berada di Hagley Park bagi memperingati mangsa yang maut susulan serangan masjid Christchurh pada 15 Mac lalu. - Foto AFP
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Seminggu telah berlalu sejak serangan pengganas di masjid Christchurch yang mengorbankan 50 nyawa dan hari ini panggilan azan berkumandang di seluruh New Zealand diikuti tafakur selama dua minit bagi memperingati kesemua mangsa.

Tatkala panggilan azan yang dilaungkan jam 1.30 petang (waktu tempatan) disiarkan secara langsung menerusi rangkaian televisyen, stesen radio dan beberapa portal media tempatan, ribuan penduduk termasuk Perdana Menteri Jacinda Ardern yang berhimpun di Hagley Park, berdiri senyap, dan masa seolah-olah terhenti di negara yang dihuni 4.5 juta orang itu.

Tafakur dua minit kemudian menyusul dan himpunan awam dilapor turut dijalankan di beberapa bandar seluruh negara temasuk Auckland dan Wellington.

Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda kemudian menyampaikan khutbah menentang kebencian dan memuji semangat bersatu rakyat New Zealand dalam menghadapi saat getir susulan serangan pengganas pada 15 Mac lalu.

Zaid Mustafa (berkerusi roda) antara mangsa terselamat susulan serangan masjid Christchurch turut berada di Hagley Park bagi menunaikan solat Jumaat. Zaid kehilangan bapa dan abangnya dalam serangan terbabit. - Foto AFP

"Pengganas terbabit berhasrat memecah belahkan negara dengan ideologi jahat, namun kita telah membuktikan bahawa New Zealand tetap bersatu," katanya sambil menambah beliau melihat rasa kasih sayang dalam setiap rakyat New Zealand dan juga masyarakat dunia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Islam New Zealand, Mustafa Farouk melahirkan rasa gembira panggilan azan tersebut disiarkan secara langsung.

Terdahulu, pihak berkuasa dilapor bertungkus lumus menjalankan usaha pembaikan di Masjid Al Noor yang menjadi salah satu sasaran pengganas warga Australia berkenaan, namun lewat semalam pengumuman dibuat solat Jumaat pada hari ini diadakan di Hagley Park, terletak berhadapan masjid berkenaan. - AFP

Artikel Berkaitan: