Dua tekong, 14 PATI sembunyi dalam semak diberkas

Antara PATI yang diberkas selepas rondaan dijalankan sepasukan anggota polis bersama Rela.
Antara PATI yang diberkas selepas rondaan dijalankan sepasukan anggota polis bersama Rela.
A
A
A

KUALA LANGAT - Gerak geri mencurigakan dua individu yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat membawa kepada tangkapan ke atas 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas didapati bersembunyi dalam semak berhampiran Jalan Banting-Sepang, Morib, Selangor pada Ahad.

Kesemua suspek diberkas menerusi rondaan yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supritenden Rizal Mohamed berkata, kedua suspek bertindak sebagai tekong darat itu diberkas dalam dua buah kenderaan.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati kedua suspek berumur 28 dan 38 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

"Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penemuan 11 PATI lelaki berumur antara 23 hingga 41 tahun dan tiga PATI wanita berumur antara 23 hingga 55 tahun dalam kawasan semak berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, kesemua PATI yang diberkas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua PATI ini dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

"Kesemua tangkapan dan rampasan berjumlah RM44,100 melibatkan dua buah kenderaan dan dua buah telefon bimbit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.