Mungkin masuk tandas pun guna kad debit

Mungkin satu hari nanti nak masuk ke tandas pun kena bayar guna kad debit atau menerusi aplikasi.
Mungkin satu hari nanti nak masuk ke tandas pun kena bayar guna kad debit atau menerusi aplikasi.
A
A
A

“SAYA nak bayar kompaun, cik.”

“Puan boleh bayar guna kad debit atau menerusi aplikasi. Kita ke arah pembayaran tanpa tunai.”

Perbualan itu berlaku selepas penulis menerima saman daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tidak meletakkan kupon bayaran letak kereta. Walaupun hanya mahu membayar kompaun RM10 (jumlah dikenakan jika dibayar dalam masa 24 jam), tetap kena bayar menggunakan kad debit atau secara digital.

Nampaknya kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) pada 8 Jun tahun lalu bahawa pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan akan dibuat secara tanpa tunai menjelang tahun 2022 menerusi inisiatif MyDigital hampir tercapai.

Menurut Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ini akan mendorong keselamatan transaksi lebih tinggi, penyelarasan lebih baik, komunikasi mengenai usaha antirasuah dipertingkatkan serta perkongsian maklumat lebih mudah.

Terdapat lima jenis pembayaran tanpa tunai popular iaitu kad kredit, kad debit, transaksi dalam talian, e-dompet dan Jompay.

Menurut Penganalisis Ekonomi daripada Asia e University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, sebanyak 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Unjuran 50 peratus keseluruhan rakyat menggunakan kaedah itu pula boleh dicapai dalam masa lima tahun lagi. Setakat ini kira-kira 30 peratus sahaja penggunaan pembayaran tanpa tunai di negara ini kerana kebanyakan kawasan terutama di pedalaman masih menggunakan wang tunai untuk membeli barangan.

Artikel Berkaitan:

“Hendak kata 100 peratus tanpa tunai itu memang agak mustahil. Jadi angka majoriti itu sudah kira satu kejayaan juga kerana pembayaran tanpa tunai ini memerlukan satu sistem yang sangat bagus,” katanya.

Seorang lagi pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi memberitahu, Malaysia mula beralih kepada bayaran tanpa tunai secara besar-besaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan susulan pandemik Covid-19.

“Pembayaran bantuan kerajaan kepada rakyat juga disalurkan secara digital sekarang. Trend ini akan berterusan dan sepatutnya diteruskan,” jelasnya.

Beliau menambah, pembayaran tanpa tunai lebih bagus kerana kos dan kecekapan transaksi lebih baik berbanding tunai, sekali gus menjadikan ekonomi negara lebih produktif.

Terfikir di benak penulis, adakah kaedah pembayaran tanpa tunai selamat?

Menurut pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim, kaedah pembayaran tanpa tunai adalah selamat kerana orang ramai tidak perlu membawa banyak duit, sekali gus mengelakkan jenayah ragut.

“Risiko jenayah untuk berlaku akan berkurang kerana orang ramai tidak membawa wang dan hanya membawa e-dompet atau kad selain hanya pengguna itu yang tahu kata laluan untuk menggunakan aplikasi pembayaran tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menggesa agar pencipta aplikasi atau pihak perbankan sentiasa menambah baik tahap keselamatan aplikasi mereka untuk mengelakkan ada pihak yang menggodamnya.

“Sudah tentu aplikasi sebegini mempunyai masalah. Kita risau sekiranya ada pihak boleh menggodam sesuatu aplikasi sehingga menyebabkan rugi besar,” kata beliau.

Shahul Hamid turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa peka dengan jumlah wang yang mereka ada dan setiap transaksi yang mungkin tidak dilakukan mereka.

“Mungkin ada pengguna terutama golongan yang sudah berusia tidak tahu menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai ini. Kita bimbang jika mereka tanpa sengaja mendedahkan kod atau nombor pin yang menyebabkan akaun mereka bakal menjadi mangsa kepada penjenayah,” ujarnya.

Justeru, sama ada kaedah pembayaran tanpa tunai ini memudahkan atau tidak, terpulang kepada seseorang. Mungkin satu hari nanti nak masuk ke tandas pun kena bayar guna kad debit atau menerusi aplikasi.

Terfikir juga, bagaimana dengan ibu bapa yang berusia ataupun mereka yang tinggal di pedalaman apabila serba-serbi terpaksa membayar secara digital? Perlu ada kajian mendalam supaya tidak menyusahkan sebahagian orang ramai.

* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian