Kelantan United jinakkan PDRM

Antara aksi menarik perlawanan Kelantan United menentang PDRM di Cheras. - Foto Kelantan United FC
Antara aksi menarik perlawanan Kelantan United menentang PDRM di Cheras. - Foto Kelantan United FC
A
A
A

KELANTAN United FC meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Premier selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, pada Ahad.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain import dari Nigeria, Njoku Jacob pada babak kedua, yang menyaksikan penyerang berusia 24 tahun itu tenang menyempurnakan sepakan penalti ala 'panenka', sekali gus muncul wira The Green Deers.

Kemenangan itu adalah kejayaan dinanti-nantikan anak buah pengendali Syamsul Saad, selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada aksi pembukaan sebelum ini.

Pada aksi tersebut, 45 minit pertama permainan menyaksikan aksi seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan, dengan PDRM berjaya mencipta lima percubaan berbanding dua Kelantan United, namun masing-masing hanya mampu melakukan satu percubaan tepat ke arah gawang.

Bersambung babak kedua, Kelantan United tampil lebih garang sebelum jaringan ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke-56, menerusi sepakan penalti Jacob selepas pertahanan PDRM Saiful Hasnol Mohd Raffi menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Keputusan 1-0 berpihak Kelantan United kekal hingga tamat perlawanan, selepas usaha kedua-dua pasukan memburu jaringan menemui jalan buntu, sekali gus menyaksikan PDRM FC menerima kekalahan pertama musim ini.

Kelantan United dijadual bertemu Skuad Projek FAM-MSN sementara PDRM FC akan berdepan Terengganu FC (TFC) 2. - Bernama

Artikel Berkaitan: