Prestasi parti ketika PRN antara agenda Kongres Nasional PKR

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi tidak memberangsangkan PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac 2022 menjadi antara agenda utama Kongres Nasional parti itu yang dijangka berlangsung Jun ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siri kekalahan itu menuntut pengubahsuaian terhadap strategi, naratif kepada rakyat, latihan jentera pilihan raya dan penggunaan data yang sesuai dengan cabaran pilihan raya semasa.

"Kita tidak pernah mengamalkan sikap sindrom penafian dan kita akan bersemuka dengan isu ini secara berdepan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi pada Ahad.

Untuk rekod, PRN Sabah pada 26 September 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 Nov 2021) serta Sarawak (18 Dis 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

Menyentuh pemilihan parti yang akan berlangsung pada 8 April ini, Saifuddin Nasution berkata, beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan.

Katanya ketika ini, beliau masih berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pucuk pimpinan serta rakan dalam parti mengenai jawatan yang sesuai ditandingi.

Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, Saifuddin Nasution berkata, beliau menghormati pendirian pemimpin itu.

"Saya percaya beliau ada alasan tersendiri untuk tidak bertanding namun yang paling penting, beliau menegaskan akan kekal dalam parti... beliau mahu memperkukuh parti menggunakan keupayaannya (tanpa jawatan dalam parti),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, media melaporkan Tian Chua mengesahkan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden namun akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Bahagian Batu selain berhasrat membantu parti mengukuhkan sokongan akar umbi bagi berdepan PRU akan datang. - Bernama