Langgar SOP PPN, 138 pengunjung pusat hiburan dikompaun

Seramai 249 pengunjung di sebuah pusat hiburan diperiksa kerana melanggar SOP PPN.
Seramai 249 pengunjung di sebuah pusat hiburan diperiksa kerana melanggar SOP PPN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 138 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru di sini dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya turut menahan 111 warga asing yang terdiri daripada 71 lelaki dan 40 wanita dalam serbuan pada jam 10 malam.

"Semasa kehadiran pihak polis, seorang penjaga premis telah diarahkan menghentikan muzik dan menyalakan lampu bagi tujuan pemeriksaan.

"Kita telah membuat pemeriksaan ke atas 249 individu kerana melanggar syarat-syarat PPN, mereka didapati berhibur sambil minum minuman keras tanpa penjarakkan sosial," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Amihizam berkata, pihaknya juga membuat rampasan berapa peralatan muzik.

"Semakan juga mendapati premis ini telah melanggar syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana beroperasi dengan lesen perniagaan yang tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) 2021.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amihizam turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pusat hiburan dan hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penyakit berjangkit di negara ini dapat dikawal.

"Sebarang pelanggaran peraturan atau undang-undang boleh dikenakan tindakan," tegasnya.