JAM jadi pusat sehenti bantu usahawan

Ahmad (dua dari kanan) menyampai replika cek kepada Jabatan Perikanan Perak.
Ahmad (dua dari kanan) menyampai replika cek kepada Jabatan Perikanan Perak.
A
A
A

GOPENG - Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) menjadi pusat sehenti bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi usahawan dalam sektor pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, program berkonsepkan turun padang turut membantu serta menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Menurutnya, sektor itu merangkumi bidang di sepanjang rantaian nilai seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.

"JAM turut menyediakan khidmat pemasaran, latihan dan kursus teknikal, penyediaan perkhidmatan sokongan dan input pertanian serta agroteknologi. Justeru, program ini menjadi pusat sehenti bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perniagaan dan pembiayaan usahawan.

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly (kanan) mengiringi Ahmad melawat gerai FAMA di RTC Gopeng.
Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly (kanan) mengiringi Ahmad melawat gerai FAMA di RTC Gopeng.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menempatkan pegawai di beberapa gerai untuk berkongsi maklumat berhubung inisiatif dan bantuan yang ditawarkan untuk peladang, petani, penternak, nelayan mahupun usahawan," katanya ketika berucap pada perasmian JAM Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kamal Badrin Hassan.

Ahmad berkata, usahawan muda boleh mendapatkan maklumat berhubung bantuan pembiayaan dalam usaha meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan agropreneur muda.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak RM15 juta diperuntukkan menerusi Geran Agroprenuer Muda (GAM) bagi tahun 2022 dengan sasaran seramai 750 usahawan muda.

"Seramai 7,699 orang agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan GAM dari 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2021 yang berjumlah RM137.71 juta.

Ahmad menandatangani buku lawatan sambil diperhatikan Razman (kanan) ketika mengunjungi booth Jabatan Perikanan Perak.
Ahmad menandatangani buku lawatan sambil diperhatikan Razman (kanan) ketika mengunjungi booth Jabatan Perikanan Perak.

"Manakala untuk di Perak sahaja, seramai 976 orang agropreneur muda telah menerima kelulusan GAM berjumlah RM13.57 juta bagi tempoh sama," katanya.

Program anjuran kementerian menerusi FAMA itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya karnival My Best Buy, kursus 'Upskilling', jualan terus dari ladang dan trak sajian untuk semua lapisan umur.

JAM merupakan aktiviti yang berkonsepkan pemantauan, 'walkabout', latihan, promosi dan juga pemasaran yang dilaksanakan di seluruh negara.

Objektif pelaksanaannya adalah bagi memantau pelaksanaan projek-projek agropreneur muda, mengeratkan hubungan antara MAFI dengan agropreneur muda dan melaksanakan kursus atau latihan serta pemasaran kepada usahawan muda.