Tiada unsur sabotaj ketika undian Sosma: Halimah

Halimah (dua dari kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Penyampaian Geran KRT 2022 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit pada Sabtu.
Halimah (dua dari kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Penyampaian Geran KRT 2022 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan beberapa ahli Parlimen kerajaan yang didakwa keluar dewan ketika undian usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) hendak dilakukan bukanlah sabotaj.

Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique berpandangan ahli Parlimen terbabit memiliki sebab dan alasan kukuh berhubung ketiadaan mereka ketika proses undian hendak dilakukan.

Menurutnya, tidak ada ahli Parlimen sengaja keluar dewan selepas menteri berkaitan selesai sesi perbahasan dan pengulunggan usul melanjutkan penguatkuasaan Sosma Rabu lalu.

"Jika ada pun tidak dapat bersama (ketika undian usul) itu. Mungkin, sebelum itu dia ada mesyuarat, ada majlis yang menyebabkan kelewatan berlaku untuk mereka masuk ataupun kelewatan berlaku hingga mereka tidak dapat hadir bersama dalam pengundian itu.

"Saya tidak fikir ada unsur-unsur sabotaj ini kerana memang sudah menjadi tanggungjawab. Jadi kita kena sedarlah tanggungjawab kita," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Geran KRT 2022 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit pada Sabtu.

Halimah berkata, ahli Parlimen perlu memikirkan semula kesan sesuatu tindakan mereka apabila diperlukan dalam membuat keputusan bagi pihak kerajaan atau sebagainya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak rapuh walaupun Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Sosma.

"Tidak ada. Undian (usul) mendapat bilangan cukup baik pada Khamis lepas. Jadi tak ada cerita rapuh atau sebagainya kerana di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan kita sedang melaksanakan apa yang perlu dilakukan kepada rakyat dan negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada dalam kabinet ini bersama-sama dan tidak ada unsur mahu melemahkan atau menjatuhkan kerajaan yang ada kerana kita bekerja secara bersama dalam keluarga Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata, semua ahli Parlimen perlu memiliki tanggungjawab untuk mengambil berat ataupun berada di dewan ketika sesuatu pembentangan atau usul yang memerlukan undian belah bahagi dan sebagainya dilaksanakan.

"Sekiranya semua ahli parlimen melaksanakan tanggungjawabnya dan mengambil berat tentang pentingnya hendak meluluskan satu rang undang-undang.Maka, sudah tentu dia tak akan berlaku seperti ini," katanya.

Halimah turut menepis berhubung dakwaan ahli Parlimen tidak masuk ke dalam dewan ketika undian usul disebabkan tidak mahu melihat wajah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam pada itu, Halimah turut mengesahkan pertemuan melibatkan menteri, Timbalan Menteri UMNO, pagi Jumaat di Putrajaya sekadar sesi sarapan pagi sahaja.

Katanya, beberapa menteri dan timbalan menteri sarapan bersama selepas datang awal beberapa jam sebelum menghadiri Mesyuarat Kabinet di Bangunan Seri Perdana di Putrajaya.

"Sepatutnya, Mesyuarat Kabinet diadakan pada jam 9 pagi namun disebabkan Perdana Menteri menghadiri Sambutan Hari Peringatan Polis, jadi mesyuarat dianjak ke jam 10 pagi.

"Bagaimanapun, kami pada jam 8.30 pagi sudah sampai. Jadi, bila sampai lebih awal, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican belanja sarapan," katanya.

Halimah berkata, tidak mungkin rundingan pembubaran parlimen dilakukan secara terbuka di hotel.