Penyanyi nasyid mungkin beli benih ganja secara dalam talian

Mohamad Fakhrudin (tengah) menunjukkan antara pokok ganja yang ditanam menerusi serbuan sebuah rumah di kondominium di Kota Damansara pada Khamis.
Mohamad Fakhrudin (tengah) menunjukkan antara pokok ganja yang ditanam menerusi serbuan sebuah rumah di kondominium di Kota Damansara pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan bekas penyanyi nasyid dan komposer terkenal yang ditahan kerana menanam ganja di kediamannya mendapatkan benih tumbuhan tersebut menerusi platform dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, soal siasat masih dijalankan sama ada suspek memperolehnya daripada medium dalam talian atau pun pembelian menerusi individu tertentu.

Menurutnya, kes ini masih lagi dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Setakat ini siasatan memfokuskan terhadap tangkapan terlebih dahulu dan tidak melibatkan individu lain.

"Kita juga akan meneliti lebih lanjut untuk mengetahui sama ada suspek mendapatkan benih ganja itu daripada pembelian online atau individu lain," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara.

Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Mohamad Fakhrudin dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.