KKM perlu sedia SOP lengkap sebelum pembukaan sempadan

Dayalan (kanan) dan Batumalai mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru pada Jumaat.
Dayalan (kanan) dan Batumalai mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan jelas sebelum pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April ini.

Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor (Pemas), S Dayalan berkata, ini kerana sehingga kini KKM masih belum menetapkan SOP khusus untuk pengembara yang pulang dari republik tersebut.

"Bagi SOP yang ditetapkan kerajaan Singapura sudah 99 peratus jelas tetapi bagi pihak KKM, sehingga kini masih belum jelas dan seakan-akan tergantung. Kita harap KKM keluarkan dan maklumkan SOP daripada A sampai Z.

"KKM diminta umumkan SOP dan siarkan dalam portal mereka untuk rujukan warganegara kita yang mahu pulang," katanya ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat, Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat dengan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama memaklumkan, perkara itu terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Dayalan berkata, penetapan SOP daripada pihak KKM penting bagi mengelak sebarang masalah apabila pengembara dalam jumlah yang ramai tiba di Tambak Johor dan LinKedua pada April ini.

"Pada hari biasa sebelum ini pun susah diuruskan, cuba bayangkan apabila sempadan dibuka sepenuhnya nanti pada 1 April nanti. Kita dimaklumkan terdapat 300,000 pekerja Malaysia di Singapura akan pulang tetapi saya yakin tidak semua akan balik sekali gus pada 1 April.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana ada yang akan melihat keadaan terlebih dahulu. Jika kes Covid-19 naik mungkin mereka tangguh untuk balik. Ini kerana amat berisiko, kalau mereka balik kes naik dan sempadan ditutup semula, mereka tidak akan dapat masuk ke Singapura," katanya.

Mengenai laporan tersebut, pihaknya menggesa siasatan kemungkinan terdapat usaha menipu rakyat Malaysia yang pulang dari republik itu untuk dikuarantin di hotel sekitar bandar raya ini walaupun ujian saringan Covid-19 mereka negatif.

Katanya, ini kerana perkara tersebut telah berlaku kepada seorang juruteknik, A Batumalai, 36, yang sudah bekerja di republik itu sejak tiga tahun lalu dan pulang pada 12 Mac lalu.

"Sebelum pulang ke Malaysia pada 12 Mac, dia telah melakukan ujian saringan Covid-19 di Singapura pada 11 Mac dan keputusannya negatif.

"Namun apabila memasuki Malaysia, dia melakukan satu ujian saringan Covid-19 bersama-sama pegawai KKM yang perlu ditanggung sendiri dengan kos RM60 dan dapati positif namun pegawai itu enggan menunjukkan sebarang bukti, sebaliknya dia terus dihantar ke sebuah hotel di Iskandar Puteri untuk dikuarantin," katanya.

Batumalai katanya, membuat satu rakaman video yang menunjukkannya melakukan ujian kendiri Covid-19 dengan keputusannya negatif sebelum menularkannya dalam media sosial.

"Ekoran itu, pihak hotel memberitahu dia boleh meninggalkan hotel tersebut tetapi perlu membayar kos penginapan sehari iaitu RM212," katanya.