Kebakaran di Lembah Bidong terkawal

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERUS - Operasi pemadaman api di kawasan paya gambut di Lembah Bidong, Setiu yang memasuki hari ke-11 kini sudah berada di peringkat akhir, kata Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad.

Katanya, pihaknya kini memfokuskan untuk memadamkan kebakaran pada bahagian tertentu sahaja, terutama batang kayu yang masih terbakar.

"Kesukaran pada hari ini tidak seperti sebelum ini. Pihak bomba sudah boleh akses ke kawasan terbakar dan sumber air juga mencukupi setelah memperoleh bantuan dua unit hydrosub daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta bantuan jengkaut yang digunakan untuk mendalamkan parit daripada kerajaan negeri," katanya.

Mohd Mazimi berkata, pihak bomba menamatkan operasi hari ini kira-kira 6 petang tadi dan akan sambung semula pagi esok.

Sementara itu di Besut, pihak bomba terpaksa bertungkus lumus memadam kebakaran di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Anak Ikan Dalam, sejak semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata sehingga kini pihaknya telah memadamkan api sehingga 12 hektar dari keseluruhan kawasan yang terbakar.

"Kebakaran tersebut telah bermula beberapa hari lalu, sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9 pagi semalam daripada orang awam, dan apabila tiba di lokasi kita mendapati api telah merebak ke banyak kawasan.

"Pihak bomba turut mengalami kesukaran memasuki kawasan yang terbakar ekoran keadaan laluan yang tidak sekata.

Artikel Berkaitan:

"Kini kita hanya menggunakan pancuan empat roda dan lori ke lokasi bagi menghantar peralatan pemadaman yang diperlukan," katanya.

Tambah beliau, punca sebenar kebakaran tersebut masih dalam siasatan dan operasi yang tamat petang tadi akan disambung esok.-Bernama