Mayat wanita dalam gaung diklasifikasikan kes bunuh

Nanda
Nanda
A
A
A

SEREMBAN - Kes penemuan mayat seorang wanita di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama di sini Ahad lalu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan kes berkenaan kini hampir selesai dan polis telah pun mengenal pasti identiti mayat berkenaan susulan terdapat individu yang mengaku sebagai waris.

"Polis telah pun menjejaki waris dan mangsa dikenal pasti sebagai rakyat tempatan dan berusia 29 tahun.

"Kertas siasatan kes ini akan disiapkan tidak lama lagi kerana sedang menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Jumaat

Beliau bagaimanapun enggan membuat kesimpulan awal motif kejadian kerana sedang menunggu keputusan DNA yang dijangka diperolehi dalam masa satu ke dua minggu.

Mengulas lanjut, Nanda berkata, tiga suspek termasuk seorang wanita yang ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan merupakan warga tempatan dan juga rakan kepada mangsa.

Selain itu katanya, ujian Covid-19 terhadap mayat berkenaan juga didapati positif.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 20 Mac lalu melaporkan mayat seorang wanita dalam keadaan tertiarap ditemukan di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Bukit Putus Lama.

Mayat berkenaan ditemui jam 10.50 pagi oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging di lokasi ketika mahu mengambil gambar.

Mayat wanita yang tidak dikenali identitinya memakai seluar dan baju berwarna hitam.