Guru rugi RM277,000 diperdaya 'timbalan pendakwa raya'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Akibat terpedaya arahan 'Timbalan Pendakwa Raya' supaya menukar kad banknya dengan mendaftarkan atas nombor telefon orang lain, seorang guru wanita kerugian RM277,000 apabila wang simpanan dalam akaun banknya lesap.

Mangsa berusia 55 tahun mendakwa diarah berbuat demikian oleh seorang 'Timbalan Pendakwa Raya' bernama Mastura bagi tujuan siasatan selepas dikaitkan dengan kes menipu tuntutan insurans dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa turut diarahkan menukar nombor pin kad bank baharunya menggunakan nombor hadapan kad pengenalannya.

"Selain itu, mangsa diarah memindahkan semua wang dalam akaun bank lain ke akaun bank yang baharu dengan jumlah keseluruhan RM 277,128.

"Malangnya wang itu kemudian dilesapkan dengan baki wang yang ditinggalkan hanya RM128," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, kes penipuan ke atas mangsa berlaku bermula dengan satu panggilan telefon yang diterima daripada seorang wanita mendakwa pegawai sebuah syarikat insurans dari Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu.

"Mangsa dimaklumkan bahawa dia telah membuat tiga kali tuntutan insurans di Hospital Columbia Asia Petaling Jaya sebanyak RM68,800, namun dia menafikannya.

"Panggilan kemudian disambung ke Balai Polis Pudu dan mangsa diminta bercakap dengan seorang anggota polis bernama Sarjan Major (SM) Mohd Sarif Samad.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya panggilan disambung pula kepada seorang pegawai polis bernama Inspektor Azman untuk bantuan bagi menyelesaikan kes dihadapi," katanya.

Mohd Wazir berkata, sebagaimana kes-kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini, mangsa 'ditakutkan' kononnya turut terlibat dengan pengubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan di atas namanya berdasarkan semakan dilakukan pegawai polis itu.

"Panggilan seterusnya disambungkan kepada 'Timbalan Pendakwa Raya' bernama Mastura itu di mana arahan yang dikeluarkan telah berjaya memerangkap mangsa sehingga wanita itu menanggung kerugian RM227,000.

"Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Khamis kerana syak telah ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.