Kadar zakat fitrah di Pahang kekal RM7

Ahmad Hairi (empat, kanan) dan Dr Asmadi (lima, kiri) menyempurnakan bantuan tahunan hari raya kepada wakil penerima selepas sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2022 di Pejabat Muip, pada Khamis.
Ahmad Hairi (empat, kanan) dan Dr Asmadi (lima, kiri) menyempurnakan bantuan tahunan hari raya kepada wakil penerima selepas sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2022 di Pejabat Muip, pada Khamis.
A
A
A

PEKAN - Kadar zakat fitrah bagi negeri Pahang tahun ini kekal RM7 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu kekal sejak 2013.

"Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini, seramai 930 amil telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan.

"Memahami keutamaan dalam memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dan fasa peralihan ke endemik, kaedah bayaran melalui amil tertakluk prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara ditetapkan.

"Pihak Muip turut menyediakan kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui platform ezakat.muip.gov.my," katanya dalam sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2022 di Pejabat Muip di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Ahmad Hairi berkata, mana-mana pihak yang didapati memungut zakat fitrah tanpa kebenaran Muip boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, bagi membendung penularan pandemik Covid-19 beberapa garis panduan ditetapkan untuk pembayaran melalui amil di kaunter bayaran yang dibuka.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya, kaunter kutipan perlu berada di luar dewan solat utama dengan waktu bermula selepas subuh hingga 10.30 malam selain perlu mengamalkan SOP sedia ada termasuk memakai pelitup muka.

"Amil atau pembayar zakat bergejala tidak dibenarkan berurusan. Kaunter bayaran hanya boleh dibuka di masjid, surau dan tempat dibenarkan," katanya.

Ahmad Hairi berkata, untuk rekod, jumlah kutipan zakat fitrah bagi tahun 2021 sebanyak RM7 juta dan kutipan tahun ini disasarkan kepada RM7.5 juta.

Sementara itu Ahmad Hairi berkata, sempena Ramadan tahun ini, Muip akan mengagihkan lebih RM11 juta untuk bantuan tahunan hari raya.