Kerajaan jamin tingkat jumlah anak Sabah, Sarawak dalam sektor awam

Maximus Ongkili. - Foto Bernama
Maximus Ongkili. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan akan meningkatkan jumlah anak Sabah dan Sarawak bagi mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam, termasuk jawatan gred tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkembangan lanjut mengenai perkara itu yang turut menjadi isu dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi di bawah Majlis Khas MA63 akan diumum selepas mesyuarat keempat majlis itu, tidak lama lagi.

"Dalam Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi, isu Borneonisasi pertama kali disentuh sebagai asas perbincangan merangkumi jumlah pegawai, kategori dan elaun yang berbeza.

"Kita mencadangkan supaya jawatankuasa kerja ini akan menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan Borneonisasi. Perkara ini biasanya di bawah tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Berdasarkan apa yang pernah disebut Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj), kita boleh bincangkan perkara yang boleh dipersetujui untuk memberi peluang yang lebih luas kepada pegawai dari Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam usaha meningkatkan jumlah anak Sabah dan Sarawak yang memegang jawatan Gred 54 dan ke atas.

Sementara itu menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang bertanya jumlah mesyuarat di bawah MA63, Maximus memaklumkan, setakat ini majlis khas tersebut sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali.

“Empat jawatankuasa kerja di bawah Majlis Khas MA63 juga sudah mengadakan mesyuarat tersendiri sekurang-kurangnya tiga kali.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat terperinci mengenai perkembangan lanjut yang dicapai akan dimaklumkan selepas mesyuarat Majlis Khas MA63 keempat dan biasanya saya akan laporkan kepada Parlimen," katanya.

Mengenai soalan asal Jugah Muyang (Bebas-Lubok Antu) mengenai perancangan kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan Borneonisasi, Maximums memaklumkan, Majlis Khas MA63 membincangkan mengenai keutamaan pengambilan dan peningkatan penyertaan anak muda kedua-dua negeri itu dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

"Di Sabah, terdapat 109 perjawatan Ketua Jabatan di Jabatan Persekutuan di Sabah dan semuanya sudah diisi, dengan 54 orang atau 49.5 peratus diisi oleh tempatan Sabah, 53 orang (48.6 peratus) dari Semenanjung dan dua orang anak Sarawak.

"Bagi Sarawak, terdapat 117 perjawatan Ketua Jabatan di Jabatan Persekutuan di Sarawak dan 109 perjawatan telah diisi, dengan 68 orang atau 64 peratus adalah anak Sarawak, 39 orang (35.7 peratus) dari Semenanjung dan dua anak Sabah," katanya.